Lima arah aliran pelancongan yang membentuk tahun 2026
Pelancong merancang lebih awal, berbelanja secara berhemat, serta mengutamakan nilai berbanding kuantiti, dengan segmen perjalanan antarabangsa dijangka melonjak pada separuh kedua tahun 2026.
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026 – Aktiviti pelancongan kekal menjadi keutamaan pengguna di seluruh rantau Asean, dengan para pelancong kini lebih mementingkan perancangan yang lebih teliti dari segi bajet dan pemilihan destinasi. Seiring dengan perkembangan ekonomi dan situasi global, mereka mengambil langkah lebih bijak dalam menentukan lokasi pilihan, jumlah perbelanjaan, serta tempoh tempahan.
Berdasarkan dapatan data tempahan awal AirAsia MOVE (MOVE) bagi tempoh perjalanan antara 1 Julai hingga 31 Disember 2026, pengguna aplikasi MOVE semakin mengutamakan nilai, kemudahan, dan perancangan teliti dan bukan untuk mementingkan kekerapan melancong.
Dapatan tersebut turut menunjukkan bahawa corak percutian spontan semakin ditinggalkan menjelang separuh kedua tahun 2026. Sebaliknya, pelancong memberi tumpuan kepada destinasi yang menawarkan nilai yang lebih berbaloi, tempoh perjalanan yang lebih singkat, serta pengalaman bermakna tanpa membebankan kewangan.
Perbelanjaan bijak, bukan pengurangan bajet
Antara peralihan paling ketara yang direkodkan oleh data MOVE adalah cara mereka mengagihkan bajet perjalanan. Purata perbelanjaan penerbangan bagi separuh kedua tahun 2026 kini merekodkan sekitar 35 peratus lebih tinggi berbanding purata perbelanjaan penginapan hotel.
Data berkenaan memberi isyarat bahawa pelancong masih sanggup melabur untuk sampai ke destinasi pilihan mereka, namun menjadi lebih selektif dalam memilih tempat penginapan.
Daripada memilih penginapan mewah, orang ramai kini lebih cenderung memilih hotel yang menawarkan keseimbangan dari segi keselesaan, kemudahan, dan harga yang berpatutan.
Arah aliran ini jelas terbukti menerusi pilihan inventori penginapan lebih dari satu juta pilihan hotel yang terdapat di platform MOVE secara global, di mana 76 peratus daripada tempahan yang direkodkan adalah bagi hotel bertaraf tiga dan empat bintang. Ini sekali gus menyerlahkan kecenderungan pengguna terhadap penginapan berkualiti tinggi yang menawarkan nilai terbaik untuk wang mereka.
Tempoh hari gaji jadi pemangkin tempahan
Dapatan pintar tempahan MOVE turut mendedahkan bahawa hampir 40 peratus tempahan tiket penerbangan dibuat bagi perjalanan antara 25 - 5 haribulan. Tempoh yang sejajar dengan kitaran pembayaran gaji di kebanyakan pasaran Asean.
Corak ini menunjukkan bahawa walaupun pelancong sering membuat kajian dan perancangan awal, kebanyakan mereka hanya memuktamadkan tempahan berhampiran tarikh menerima gaji. Pendekatan ini mencerminkan disiplin kewangan yang semakin tinggi dalam kalangan pengguna bagi perbelanjaan yang bukan keperluan asas.
Memandangkan aspek kemampuan menjadi semakin krusial, perancangan kewangan kini menjadi sebahagian daripada proses penting sebelum keputusan melancong dibuat.
Kemudahan mendorong pemilihan destinasi
Destinasi yang lebih mudah dan dekat untuk sampai terus menjadi pilihan utama pelancong.
Meskipun pasaran pelancongan domestik kekal kukuh di seluruh rantau ini, permintaan antarabangsa terus tertumpu kepada destinasi dalam lingkungan tempoh penerbangan bawah empat jam. Tempoh ini membolehkan pelancong memaksimalkan masa percutian dan perbelanjaan mereka secara optimum.
Tempahan penerbangan antarabangsa di bawah empat jam merekodkan peningkatan sebanyak 14 peratus bagi separuh kedua tahun 2026 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025. Trend ini mencerminkan permintaan yang semakin berkembang terhadap destinasi yang menawarkan kemudahan akses serta nilai keseluruhan yang tinggi, sekali gus menjadikan percutian singkat dan dalam rantau Asean semakin meningkat.
Sektor pelancongan antarabangsa dijangka melonjak
Selain itu, pelancong juga didapati merancang percutian mereka lebih awal, di mana peratusan tempahan yang dibuat melebihi 120 hari sebelum tarikh berlepas menunjukkan peningkatan. Arah aliran ini menandakan pemulihan keyakinan pengguna untuk merancang perjalanan jangka panjang.
Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, dan Filipina dijangka kekal sebagai destinasi paling popular bagi pengguna MOVE sepanjang baki tahun ini. Ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap perjalanan serantau yang didorong oleh ketersambungan laluan penerbangan yang mantap serta tawaran nilai yang kompetitif.
Generasi Milenial dan Gen Z pemacu utama
Generasi Milenial kekal sebagai kumpulan pelancong terbesar dalam platform MOVE yang menyumbang sebanyak 43 peratus daripada keseluruhan tempahan, diikuti oleh Gen Z sebanyak 23 peratus. Secara keseluruhan, kedua-dua generasi ini merangkumi hampir dua pertiga daripada tempahan di platform MOVE, sekali gus mengukuhkan peranan golongan muda dalam membentuk ekonomi pelancongan rantau ini.
Walaupun kesedaran terhadap pengurusan kos menjadi semakin penting, melancong kekal sebagai keutamaan gaya hidup bagi generasi ini. Daripada mengurangkan aktiviti perjalanan, mereka memilih untuk membuat keputusan yang lebih terancang dengan memilih destinasi dan pengalaman yang dapat memberikan nilai maksimum mengikut bajet masing-masing.