KUALA LUMPUR, 03 NOVEMBER 2026 – Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (ikhlas.com) memperkenalkan Zakat Advantage Programme (ZAP), sebuah inisiatif kerjasama korporat yang bertujuan melangkaui kutipan zakat dengan menawarkan nilai tambah kepada syarikat melalui ganjaran korporat, kebajikan pekerja, peluang jaringan perniagaan serta pelaporan zakat yang telus.
Berlangsung di Atrium, RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), Scale & Impact Summit 2026 menandakan fasa seterusnya dalam inisiatif zakat ikhlas.com, meneruskan kesinambungan Zakat Fest sebelum ini bagi mengeratkan hubungan antara usahawan Muslim, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemimpin korporat.
Sidang kemuncak ini turut menampilkan forum bertajuk “Empowering the Generation; Building a Stronger Economy” yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin dan Tuan Azri Jemani, Pengasas Keedsflix International Sdn Bhd. Sesi ini akan membincangkan peranan keusahawanan, kepimpinan dan pemerkasaan ekonomi dalam membuka peluang kepada generasi akan datang serta membina ekonomi yang lebih kukuh.
Ikhlas berkata ZAP membawa pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap zakat korporat, dengan memberi peluang kepada syarikat untuk menikmati pelbagai manfaat melalui kerjasama bersama, di samping menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“ZAP bukan sekadar pembayaran zakat. Kami ingin membina komuniti pembayar zakat korporat yang lebih besar dengan menawarkan nilai tambah kepada syarikat melalui kebajikan pekerja, ganjaran korporat, jaringan perniagaan dan peluang kerjasama. Matlamat kami adalah untuk menjadikan zakat lebih bermakna kepada perniagaan, di samping memastikan setiap sumbangan memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya.
Melalui ZAP, syarikat yang mengambil bahagian boleh menikmati beberapa inisiatif yang memberikan nilai tambah kepada organisasi dan pekerja mereka. Staff Waqalah Programme membantu syarikat menyalurkan bantuan zakat kepada pekerja berpendapatan rendah yang layak, sekali gus memastikan manfaat zakat turut dinikmati oleh golongan yang memerlukan dalam kalangan warga kerja mereka.
Sementara itu, Company Rewards menawarkan ganjaran tahunan berbentuk pakej umrah, perjalanan dan gaya hidup kepada organisasi yang menyertai program ini sebagai nilai tambah atas penglibatan mereka dalam pembayaran zakat korporat.
Melalui Barakah Series Reporting, syarikat turut menerima laporan zakat melalui e-mel dan media sosial yang mengetengahkan sumbangan serta usaha tanggungjawab sosial korporat mereka. Inisiatif ini membolehkan organisasi berkongsi penglibatan mereka dalam pembangunan masyarakat, di samping meningkatkan ketelusan terhadap sumbangan zakat yang disalurkan.
Selain manfaat tersebut, ZAP turut membuka peluang kepada syarikat untuk membina hubungan melalui acara jaringan perniagaan, sesi perkongsian ilmu dan jemputan eksklusif, termasuk VIP Tea Talk bersama tokoh ilmuwan Islam dan individu berpengaruh dalam dunia perniagaan, serta Private Summit 2027 yang akan datang.
Inisiatif ini bertujuan membuka ruang kepada PKS untuk berinteraksi dengan pemimpin korporat yang lebih berpengalaman, berkongsi pengetahuan perniagaan, membina hubungan strategik dan meneroka potensi kerjasama. Melalui jaringan korporat yang lebih luas, ikhlas.com berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk berkembang, di samping menggalakkan lebih banyak organisasi menjadi sebahagian daripada komuniti pembayar zakat.
Sebagai sebahagian daripada pelaporan zakatnya, ikhlas.com merekodkan kutipan berjumlah kira-kira RM44.36 juta pada tahun 2026, dengan penyertaan sebanyak 63 syarikat, berbanding 42 syarikat pada tahun 2025. Pencapaian ini mencerminkan peningkatan penyertaan syarikat dalam pembayaran zakat korporat.
Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store.