ikhlas.com buka cawangan Johor, taja 100 asnaf tunai umrah dengan duit poket RM150,000 sumbangan MAINJ

JOHOR BAHRU, 22 Mei 2026 - Seramai 100 individu di sekitar Johor dikenal pasti sebagai penerima tajaan penuh menerusi program Umrah 1000 Asnaf oleh Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), sekali gus membuka peluang kepada golongan memerlukan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Selain tajaan penuh pakej umrah oleh ikhlas.com, kumpulan asnaf terpilih itu turut menerima sumbangan ‘duit poket’ hasil kutipan dari para pembayar zakat menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berjumlah RM150,000.

Pengumuman tersebut dibuat sempena perasmian pejabat ikhlas.com cawangan Johor dan penyerahan tajaan Umrah 1000 Asnaf di Masjid Ungku Tun Aminah, Kampung Pasir Tampoi, turut dihadiri Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr. Nooh Gadot dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kami percaya masih ramai yang menyimpan impian ke Tanah Suci tetapi terhalang oleh kekangan hidup. Melalui kerjasama bersama MAINJ, kita dapat memastikan tajaan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan, selaras dengan matlamat program untuk memperluas akses ibadah kepada golongan asnaf.”

Di sebalik angka tersebut, tersingkap kisah kehidupan yang penuh cabaran seperti yang dilalui oleh Nur Laila Abd Rasib, 42, yang menyara tiga anak sambil bekerja sebagai pencuci sejak awal tahun ini, di samping berkongsi tanggungjawab menjaga ibu bapa lanjut usia bersama adik-beradik.

Mendiami rumah yang asalnya sebuah bangsal di belakang kediaman ibunya sebelum diubah suai menjadi tempat berteduh, Laila berdepan situasi sukar apabila kediamannya sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat sehingga merosakkan perabot.

“Selama ini saya lebih utamakan keluarga. Impian saya bukan sahaja untuk ke Tanah Suci, tetapi juga suatu hari nanti dapat membantu orang lain yang tidak mampu supaya mereka juga berpeluang ke Mekah,” katanya.

Seorang lagi penerima, Azizah Wati Junit, 56, turut berkongsi perjalanan hidup sebagai ibu tunggal kepada lima anak tanpa sokongan nafkah tetap.

Pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, pencuci, penjaga kanak-kanak dan menjual kuih dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan, Azizah kini bergantung kepada bantuan zakat untuk meneruskan kehidupan, selain berdepan kekangan kesihatan akibat tekanan darah tinggi.

“Untuk berjalan jauh pun saya tidak mampu, apatah lagi memikirkan untuk ke Tanah Suci. Saya memang tidak pernah terfikir akan mendapat peluang ini,” katanya.

Selain penyerahan tajaan, program tersebut turut diisi dengan kursus umrah percuma kepada asnaf yang terpilih dan masyarakat setempat, cabutan bertuah yang menawarkan pakej Umrah percuma dan pengagihan 1,000 baucar diskaun Umrah bernilai RM200 kepada semua hadirin.

Program Umrah 1000 Asnaf telah diperkenalkan sempena ulang tahun kelima ikhlas.com tahun lalu, dengan matlamat membantu golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadah Umrah melalui tajaan penuh.

Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store

Previous
Previous

ikhlas.com opens Johor branch, sponsors 100 asnaf for umrah with RM150,000 in pocket money contributions from MAINJ 

Next
Next

ADE Secures USD100 Million Financing From QNB Group To Accelerate Expansion and Strengthen Regional MRO Leadership