Dari pelakon ke peniaga nasi berlauk, Taiyuddin Bakar bakal tunai umrah
Keterangan gambar: Taiyuddin Bakar bersama kru produksi ikhlas.com
KUALA LUMPUR, 06 OKTOBER 2026 – Pernah dikenali menerusi filem aksi komedi Apa Celop Toqq…, Taiyuddin Bakar yang kini mencari rezeki dengan menjual nasi berlauk, bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci menerusi Tabung Infak Umrah Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat, dengan kerjasama Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (ikhlas.com).
Kru produksi ikhlas.com pada mulanya merancang untuk menjalankan satu eksperimen sosial dengan berpura-pura menjual barangan kepada Taiyuddin, yang dikenali ramai menerusi tagline popular “Apa Celop Toq.”
Namun, eksperimen tersebut akhirnya bertukar menjadi satu kejutan yang bermakna apabila Taiyuddin dimaklumkan bahawa namanya terpilih sebagai salah seorang daripada lima penerima umrah Tabung Infak Umrah Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat.
Pemilihan Taiyuddin, 43, merupakan sebahagian daripada usaha ikhlas.com dalam mengenal pasti calon-calon yang sesuai untuk menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
Berkongsi mengenai perjalanan hidupnya, Taiyuddin berkata beliau dan isterinya Norzazila Zulkafli, 43 telah melalui pelbagai cabaran dalam membina kehidupan bersama sebelum memilih untuk memulakan perniagaan nasi berlauk secara ‘car boot sale’.
“Kami berdua sudah tempuh bermacam-macam dugaan. Isteri saya pandai mengait kopiah. Jadi dari sini kita bermula untuk meniaga. Daripada hasil jualan itulah, saya dan isteri memulakan perniagaan nasi berlauk ini dan isteri saya memilih konsep berniaga di kereta.
“Alhamdulillah, Allahu Akbar, Ya Allah, saya datang. Saya rindu Rasulullah,” kata Taiyuddin.
Menurut Taiyuddin, perniagaan nasi berlauk di sekitar Lembah Klang ini menjadi antara sumber rezeki utama mereka dalam menyara keluarga, selain membolehkan mereka menawarkan makanan pada harga yang berpatutan kepada pelanggan.
Taiyuddin serta empat jemaah Tabung Infak Umrah Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat akan mengerjakan ibadah umrah selama 9 hari 7 malam bersama dengan 10 jemaah Umrah 1000 Asnaf yang ditaja sepenuhnya oleh ikhlas.com, yang akan berlepas pada 19 hingga 26 Oktober 2026.
Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store.