Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif

KUALA LUMPUR, 30 Mac - Capital A Berhad (“Capital A”) telah melantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April 2026, bagi memperkukuh barisan kepimpinan dalam fasa pertumbuhan syarikat yang seterusnya.

Susulan pelupusan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Berhad (“AirAsia X”) pada Januari 2026, Capital A kini memberi fokus untuk mengembangkan dan memperluas perniagaan terasnya yang lain, iaitu Asia Digital Engineering (MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform mobiliti dan pelancongan), AirAsia Next (pengurusan jenama & harta intelek) dan Santan (makanan dan minuman).

Pelantikan Effendy ke Capital A dijangka memperkukuh keupayaan syarikat khususnya dalam aspek keputusan strategik dan penyelarasan ekosistem, dan pada masa yang sama memastikan pelaksanaan yang mampan merentasi pelbagai perniagaan Capital A dalam usaha memacu trajektori pertumbuhan serantau syarikat.

Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, “Pelantikan Effendy bertepatan dengan aspirasi kumpulan untuk memacu pertumbuhan berasaskan inovasi digital serta sinergi ekosistem. Pengalaman dan kepimpinan Effendy bertepatan dengan bertepatan dengan fasa pertumbuhan Capital A yang seterusnya. Beliau juga mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta pemahaman mendalam terhadap nilai ekosistem yang telah kami bina, di samping keupayaan menyatukan pasukan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dengan hasil yang jelas. Dengan pengalaman dan perspektif yang tepat, beliau mampu mempercepatkan pelaksanaan setiap inisiatif, dan saya yakin Effendy akan terus memacu momentum pertumbuhan Capital A dalam masa terdekat.

Effendy Shahul Hamid berkata, “Ini adalah peluang yang sangat bermakna. Keupayaan untuk menjana nilai yang berasaskan penggunaan teknologi yang unggul serta pengembangan ekosistem merupakan ciri utama yang perlu dimiliki oleh syarikat-syarikat pada masa hadapan. Saya amat tertarik dengan visi tersebut dan berbangga menjadi sebahagian perjalanan Capital A dalam fasa pertumbuhan seterusnya. 

Selain itu, saya berharap untuk kembali menimba ilmu, bekerjasama rapat dengan pelbagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat yang berada di dalam ekosistem Kumpulan Capital A dan AirAsia X untuk mencipta dan menyerlahkan potensi tinggi perniagaan mereka. Saya juga berharap dapat memanfaatkan pengalaman saya dalam sektor perkhidmatan kewangan dan rangkaian ekosistem Capital A yang sedia ada memberi peluang yang lebih luas untuk kami memperkukuhkan hala tuju perniagaan ini pada masa hadapan.”

Effendy membawa lebih dua dekad pengalaman kepimpinan serantau merangkumi sektor perbankan, transformasi digital, kerjasama strategik serta pembangunan ekosistem. Sepanjang 21 tahun bersama Kumpulan CIMB, beliau menerajui francais perbankan peruncitan serantau, memimpin agenda perbankan digital serta memacu pelbagai kerjasama dan pelaburan strategik, termasuk mentransformasikan Touch ‘n Go menjadi platform pembayaran digital terkemuka menerusi usaha sama dengan Ant Group. Beliau memulakan kerjayanya dalam pembangunan korporat dan perbankan pelaburan, dengan tumpuan kepada penggabungan dan pemerolehan (M&A) serta inisiatif pengembangan perniagaan. Effendy merupakan graduan Kejuruteraan Elektronik dari University College London dengan biasiswa penuh, dan kemudiannya menamatkan program pembangunan eksekutif di Harvard Business School, INSEAD dan Columbia Business School.


Pelantikan Effendy sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A mencerminkan momentum berterusan syarikat dalam mengukuhkan hala tuju bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

Previous
Previous

Capital A 委任 Effendy Shahul Hamid 为副首席执行官

Next
Next

AirAsia MOVE เผยข้อมูลนักท่องเที่ยวช่วง "สงกรานต์ 3 ปีซ้อน"เจาะลึก Insight คนไทย Gen Y และ Solo Traveller แชมป์เที่ยว กิน-นอนยาวรับปี 2569