AirAsia MOVE manfaatkan pertumbuhan pelancongan berasaskan acara langsung dengan tawaran pakej baharu acara dan penerbangan

Kapsyen foto: (Dari kiri ke kanan) Ketua Pegawai Kewangan AirAsia MOVE, Ramanathan A.M.N Thiagarajan; Ketua Pegawai Pemasaran AirAsia MOVE, Ravi Shankar; Ketua MOVETIX oleh AirAsia MOVE, Hassan Choudhury; dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes, pada pelancaran pakej Acara + Penerbangan AirAsia MOVE.

KUALA LUMPUR, 7 September 2026 – AirAsia MOVE memudahkan pelancong merancang perjalanan bersempena acara langsung menerusi tawaran baharu yang menggabungkan penerbangan dan tiket rasmi acara dalam satu tempahan.

Pakej acara dan penerbangan baharu ini dilancarkan bersama acara festival muzik tarian elektronik terbesar di Asia Tenggara, Djakarta Warehouse Project (DWP) 2026. Pakej ini menawarkan para peminat festival muzik cara yang lebih mudah dan berbaloi untuk merancang perjalanan ke acara berkenaan.

Dikuasakan MOVETIX, platform acara khusus AirAsia MOVE, pakej berkenaan turut membantu penganjur acara mencapai pasaran yang lebih tepat dan berpotensi tinggi di luar pasaran negara asal mereka. AirAsia MOVE boleh menghubungkan tiket acara langsung dengan para pelancong yang sememangnya sedang merancang perjalanan bersempena pengalaman acara langsung tersebut.

Daripada konsert, festival ke acara sukan serta pengalaman kebudayaan, acara langsung kini semakin menjadi antara faktor yang mendorong orang ramai merentas sempadan, sekali gus membuka peluang baharu buat pertumbuhan industri pelancongan di rantau ini. Pakej ini direka untuk memudahkan perancangan perjalanan berasaskan acara, selain menawarkan nilai lebih baik untuk para pelancong dan lebih banyak sebab untuk terus menerokai Asean.

Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, berkata, “Perjalanan kini bukan sekadar soal bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, terutama sejak kebelakangan ini. Ia juga mengenai pengalaman yang menyatukan orang ramai. Dengan acara langsung semakin mendorong ramai untuk melancong, kami melihat peluang besar untuk menghubungkan lebih ramai orang dengan muzik, budaya dan pengalaman yang mereka gemari di rantau Asean. Dengan menggabungkan jaringan AirAsia dan ekosistem perjalanan AirAsia MOVE menerusi MOVETIX, kami mahu menjadikan pengalaman ini lebih mudah diakses, di samping membantu orang ramai menerokai lebih banyak destinasi di rantau ini.”

Hassan Choudhury, Ketua MOVETIX by AirAsia MOVE, berkata, “Kami menyaksikan peningkatan 10 hingga 15 peratus dalam tempahan perjalanan ke destinasi yang menjadi lokasi acara dan konsert utama. Hal ini jelas menunjukkan pengalaman acara langsung semakin mendorong permintaan perjalanan. Sepanjang lebih 30 tahun dalam industri hiburan, saya juga melihat sendiri betapa pentingnya bagi penganjur untuk mencapai pasaran yang tepat di luar pasaran asal mereka. Pakej acara dan penerbangan baharu ini membolehkan kami memanfaatkan permintaan berkenaan dengan menggabungkan tiket acara dan penerbangan, di samping memperkenalkan acara kepada pelancong yang mempunyai kecenderungan tinggi untuk membuat tempahan dan sememangnya sedang merancang perjalanan. DWP menjadi pelancaran sulung yang menarik bersama Ismaya Group, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak penganjur di seluruh Asean dan pasaran lain bagi membantu mereka mencapai pasaran baharu serta memanfaatkan nilai lebih besar daripada permintaan perjalanan yang terhasil daripada acara mereka.”

Christian Rijanto, Pengasas bersama Ismaya Group, berkata, “DWP bukan sekadar sebuah festival. Ia adalah antara festival destinasi terbesar yang lahir dari Asia, dan menjadi antara sebab untuk berkunjung ke Indonesia. Setiap tahun, kami menyaksikan peminat datang menaiki penerbangan dari seluruh Asia, Australia dan Eropah, dan itulah antara perkara yang membuatkan DWP satu festival yang istimewa. Apa yang kami bina sepanjang 18 tahun, daripada barisan artis dan produksi hinggalah kepada layanan kepada tetamu, adalah pengalaman festival yang tiada tandingan. Kerjasama dengan AirAsia MOVE menerusi MOVETIX menjadikan perjalanan ke festival lebih mudah dan boleh diakses. Buat pertama kali, peminat dari Kuala Lumpur atau Bangkok boleh merancang keseluruhan perjalanan ke DWP, termasuk tiket dan tempahan penerbangan, dalam satu platform. Ini merupakan langkah penting dalam memajukan pelancongan berasaskan acara di rantau ini, dan kami berbangga dapat memperkenalkan inisiatif hebat ini menerusi DWP.”

Pakej acara dan penerbangan DWP menerusi MOVETIX memberi penjimatan sehingga 20% dan kini boleh didapati pada harga serendah RM1,300, harga ini termasuk tiket acara kemasukan umum DWP dan tempahan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Jakarta, menerusi AirAsia MOVE.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini, ikuti @airasiamove di Instagram dan TikTok. Muat turun aplikasi AirAsia MOVE menerusi Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery untuk pengalaman tempahan yang lebih lancar dan dipertingkatkan.

***

Previous
Previous

AirAsia MOVE taps growing live event tourism with new event and flight bundle

Next
Next

AirAsia MOVE 借助日益增长的现场活动旅游热潮,推出全新活动与机票组合