ikhlas.com realisasi impian Budak 46 tunai umrah

Photo caption: Budak 46, atau nama sebenarnya Muhammad Ammar Zulkha Helmy (tengah), bersama ibu bapanya and kru ikhlas.com.

SEBERANG PERAI, 19 OGOS 2026 – Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (ikhlas.com) berbesar hati membantu merealisasikan impian personaliti media sosial, Budak 46 atau nama sebenarnya Muhammad Ammar Zulkha Helmy, dengan menghadiahkan pakej umrah ke tanah suci sekaligus membolehkannya menunaikan hasrat sejak sekian lama untuk melihat Kaabah. 

Ammar, yang dikenali menerusi kandungan video gerak perlahan atau ‘slow motion’ di media sosial kini menghidap penyakit retinitis pigmentosa, iaitu penyakit mata yang boleh menyebabkan kemerosotan penglihatan secara beransur-ansur. 

Menyedari impian Amamr untuk mengerjakan umrah, kru ikhlas.com terbang ke Pulau Pinang bagi menyampaikan kejutan yang pada awalnya, kunjungan ini dirancang untuk meminta Ammar menghasilkan ulasan (review) terhadap set bagasi ikhlas.com menerusi akaun TikToknya.

Namun, kunjungan tersebut bertukar menjadi satu momen penuh emosi apabila Ammar dimaklumkan bahawa beliau bakal menjadi tetamu Allah dan dijangka berlepas ke tanah suci pada bulan November 2026 menerusi pakej Umrah Premium Musim Sejuk dan akhirnya, Ammar akan berpeluang untuk melihat Kaabah.

Keterangan gambar: Budak 46 bersama ibu bapanya, Asmah Wati Ramli (kiri) dan Helmy Salleh (kanan).

Ketua Mutawif dan Penasihat Syariah ikhlas.com, M. Iqbal Hanif Mohamed Rusdi, berkata kunjungan kru ikhlas.com ke rumah Ammar bukan sekadar mengenai kerjasama menghasilkan kandungan.

“Tujuan kami bukan untuk meminta Ammar membuat ulasan mengenai set bagasi kami, sebaliknya kami datang membawa berita gembira. Insha Allah, Ammar telah lama berdoa untuk berpeluang menunaikan umrah dan hari ini, kami berbesar hati menyampaikan berita bahawa Ammar akan menjadi tetamu Allah serta impian dan doanya akan menjadi kenyataan.

“Ammar juga akan ditemani oleh bapanya, Helmy Salleh, yang turut dijemput oleh ikhlas.com untuk bersama-sama menunaikan ibadah umrah. Ini bagi memastikan Ammar dapat menunaikan umrahnya dengan lebih selesa dan tenang sepanjang perjalanan,” katanya.

Ammar menyifatkan peluang tersebut sebagai satu nikmat yang amat disyukurinya, lebih-lebih lagi kerana beliau masih menyimpan impian untuk melihat Kaabah dengan penglihatan yang dimilikinya sekarang.

“Saya amat bersyukur atas peluang ini untuk merasai nikmat yang dikurniakan Allah. Impian saya selama ini adalah untuk menunaikan umrah dan melihat Kaabah selagi saya masih mempunyai penglihatan. Walaupun suatu hari nanti saya kehilangan penglihatan, saya akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya.” 

Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store

Next
Next

ikhlas.com helps realise Budak 46's dream of performing umrah