Capital A dilepaskan dari status Nota Amalan 17 (PN17) 

KUALA LUMPUR, 19 MEI 2026 - Capital A Berhad (“Capital A” atau “Syarikat”) hari ini menerima notifikasi rasmi daripada Bursa Malaysia Securities Berhad bahawa Capital A akan dilepaskan dari status Nota Amalan 17 (PN17) berkuat kuasa jam 9.00 pagi, Rabu, 20 Mei 2026. Perkembangan ini menyusuli kejayaan pelaksanaan pelan regularisasi Syarikat, sekali gus menamatkan secara rasmi tempoh penstrukturan semula selama enam tahun dan membuka fasa baharu pertumbuhan Capital A.

Perkembangan yang amat menggalakkan ini adalah hasil beberapa langkah strategik utama yang berjaya diselesaikan pada bulan Januari, termasuk pelupusan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X Berhad (“AAX”), pengagihan serta penyenaraian saham AAX kepada pemegang saham Capital A yang layak, selain pengurangan modal berjumlah kira-kira RM5.5 bilion yang diluluskan Mahkamah Tinggi. Penstrukturan semula ini berjaya memulihkan kedudukan dana pemegang saham Syarikat kepada paras positif. Selaras dengan kedudukan kewangan yang telah dinormalisasikan, Capital A turut merekodkan lima suku berturut-turut keuntungan bagi perniagaan-perniagaannya, selepas mengambil kira pengecualian prestasi perniagaan penerbangan, bagi tempoh dari Suku Pertama 2025 hingga Suku Pertama 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, “Ini merupakan berita terbaik yang boleh kami harapkan di Capital A. Enam tahun kebelakangan ini amat mencabar dan ada ketikanya, ramai yang merasakan kami mungkin tidak mampu bertahan. Namun kami tidak pernah mengalah. Kami mempertahankan peluang pekerjaan, mentransformasikan Capital A menjadi sebuah ekosistem yang jauh lebih kukuh, sambil terus memberi fokus penuh kepada pertumbuhan Syarikat. 

Ketika dunia baru mula pulih, kami kini berdepan pula dengan ketidaktentuan baharu akibat konflik global, kenaikan harga bahan api dan tekanan rantaian bekalan. Namun syarikat-syarikat di bawah Capital A kurang terkesan dengan harga bahan api, dan ini membuktikan bahawa strategi kami membina kumpulan syarikat bukan penerbangan yang lebih berdaya tahan dan berdikari adalah tepat.

Pengumuman Bursa Malaysia untuk melepaskan kami dari status PN17 secara rasmi merupakan satu detik yang amat bermakna buat saya dan seluruh Allstars kami. Ia menjadi pengiktirafan terhadap segala kerja keras, disiplin dan ketahanan yang dicurahkan dalam menjayakan setiap langkah pelan regularisasi kami.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Effendy Shahul Hamid berkata, “Ini menandakan permulaan era baharu buat Capital A, yang kini tampil sebagai sebuah kumpulan yang berbeza dengan lima perniagaan kukuh, masing-masing mempunyai potensi pertumbuhan yang besar. ADE sedang mencatatkan prestasi terbaik dalam sejarahnya, manakala Teleport terus memperluaskan rangkaian logistiknya ke seluruh Asia dan pasaran antarabangsa. Kedua-duanya juga telah memperoleh pembiayaan baharu bagi menyokong pelan pertumbuhan agresif masing-masing.

AirAsia MOVE pula akan memanfaatkan rangkaian penerbangan bersepadu syarikat penerbangan untuk mengembangkan segmen ancillary, runcit dan perancangan perjalanan, menjadikannya lebih pintar dan lebih diperibadikan kepada pengguna. Pada masa sama, AirAsia Next membuka potensi jenama ikonik AirAsia melalui keupayaan kesetiaan pelanggan, AI dan data merentasi keseluruhan ekosistem. Santan juga sedang bersedia untuk berkembang daripada sekadar penyedia makanan dalam penerbangan kepada jenama makanan grab-and-go Asean.

Kami berjaya mengharungi tempoh penuh cabaran ini dengan ketahanan dan disiplin kewangan yang tinggi, dan saya percaya kami kini muncul lebih fokus serta lebih bersedia. Kini kami boleh bergerak ke hadapan dengan pelan dan langkah korporat untuk setiap perniagaan kami, berlandaskan disiplin yang lebih kukuh, pemikiran berteraskan teknologi, daya tahan serta perancangan jangka panjang. Kami mahu bergerak pantas dan penuh cita-cita, sambil terus membuktikan nilai setiap perniagaan dalam portfolio kami melalui agenda pertumbuhan yang jelas.”

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Capital A, Teh Mun Hui berkata, “Keseluruhan penstrukturan semula ini merupakan antara detik paling penting dalam sejarah Capital A. Proses yang sangat kompleks ini melibatkan pelbagai transaksi, bidang kuasa dan keperluan kawal selia yang luas, dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas kerjasama erat sepanjang proses ini. Lebih penting lagi, pencapaian ini mencerminkan kekuatan dan daya tahan Syarikat, selain membolehkan Capital A bergerak ke hadapan dengan kedudukan kewangan yang jauh lebih kukuh, struktur korporat yang lebih jelas serta fokus baharu terhadap pertumbuhan jangka panjang.”

Kini, semua syarikat penerbangan AirAsia kini beroperasi di bawah satu platform penerbangan yang disatukan, manakala Capital A akan memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya yang dibangunkan untuk menjana nilai mampan melalui keupayaan penyelarasan ekosistem dalaman dan luaran yang lebih mantap. Perniagaan tersebut merangkumi Asia Digital Engineering (ADE, perniagaan MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform pelancongan dalam talian), AirAsia Next (jenama & IP) dan Santan (F&B).

Capital A akan terus memaklumkan perkembangan operasi perniagaannya kepada pasaran dari semasa ke semasa.

*** TAMAT *** 




Next
Next

Capital A out of PN17