AirAsia MOVE raih gelaran Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia buat tahun keempat berturut-turut

Pengiktirafan berdasarkan undian orang ramai mencerminkan kepelbagaian penawaran perjalanan dan peningkatan pengalaman pengguna aplikasi MOVE yang secara langsung meningkatkan jumlah pengguna aktif sebanyak 22% dan carian perjalanan dalam aplikasi melonjak 14% dari tahun ke tahun.

GREEN ISLAND, JAMAICA, 14 Oktober 2026 – AirAsia MOVE (MOVE) dinobatkan sebagai Aplikasi Tempahan Pelancongan Terbaik Asia buat tahun keempat berturut-turut di majlis World Travel Tech Awards 2026, sekali gus mencerminkan perkembangan berterusan platform itu dalam menyesuaikan diri dengan perubahan jangkaan pelancong dan cabaran industri pelancongan.

MOVE telah berkembang daripada platform yang memfokuskan tempahan penerbangan dan hotel kepada aplikasi perjalanan dan gaya hidup yang menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih inklusif. Pengguna boleh membuat tempahan dari lebih 700 syarikat penerbangan dan lebih sejuta hotel, menggabungkan tempahan penerbangan dan hotel menerusi SNAP!, meneroka tarikan serta pengalaman di seluruh dunia melalui GetYourGuide, selain mendapatkan akses kepada pilihan acara-acara menarik menerusi MOVETIX.

Selain memperluas pilihan tempahan, MOVE turut terus menambah baik pengalaman pengguna melalui penambahbaikan berterusan pada proses tempahan dan pembayaran, dan chatbot berkuasa kecerdasan buatan (AI) AskBo.

Perkembangan ini turut dicerminkan oleh peningkatan penglibatan pengguna, apabila jumlah pengguna aktif bulanan meningkat 22 peratus tahun ke tahun kepada hampir 17 juta, manakala carian perjalanan dalam aplikasi melonjak 14 peratus kepada 33 juta.

Chan Kok Ding, Ketua Komersial AirAsia MOVE, berkata, “Memenangi gelaran Aplikasi Tempahan Pelancongan Terbaik Asia buat tahun keempat berturut-turut merupakan pencapaian yang amat membanggakan buat MOVE, khususnya ketika kami terus berkembang seiring dengan landskap pelancongan yang sentiasa berubah.

“Namun, ukuran kejayaan sebenar kami bukan sekadar pada tempahan yang dibuat, tetapi juga peluang dan pengalaman yang dapat kami wujudkan selepas tempahan dibuat. Dengan menghubungkan pelancong, rakan syarikat penerbangan dan hotel, badan pelancongan serta destinasi, kami berhasrat merealisasikan lebih banyak peluang perjalanan, sekali gus membuka ruang pertumbuhan kepada industri pelancongan secara keseluruhan dan memudahkan orang ramai meneroka dunia.”

Graham E. Cooke, Presiden & Pengasas World Travel Awards, berkata: “Tahniah AirAsia MOVE atas pencapaian di World Travel Tech Awards 2026. Empat tahun berturut-turut sebagai Aplikasi Tempahan Perjalanan Terbaik Asia (Asia’s Best Travel Booking App) mencerminkan inovasi, perubahan tawaran perjalanan dan komitmen MOVE untuk memberikan pengalaman tempahan yang lebih mudah untuk para pelancong. Pencapaian ini membuktikan dedikasi kakitangan MOVE serta peranan mereka dalam memudahkan para pelancong meneroka, merancang dan menempah perjalanan.”

Pada majlis anugerah yang sama, MOVE, selaku platform tempahan rasmi AirAsia, turut memenangi anugerah Aplikasi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia dan Laman Web Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tahun ini.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini, ikuti @airasiamove di Instagram dan TikTok. Muat turun aplikasi MOVE melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery untuk menikmati pengalaman tempahan yang lebih lancar dan dipertingkatkan.

Previous
Previous

AirAsia MOVE 连续第四年荣获“亚洲最佳旅游预订应用程序”

Next
Next

AirAsia MOVE wins Asia’s Best Travel Booking App for the fourth consecutive year