Capital A umum Low Kar Chuan sebagai Ketua Pegawai Kewangan

Pelantikan ini memperkukuh komitmen Capital A terhadap peningkatan nilai perniagaan, disiplin kewangan dan pemantapan tadbir urus merentasi seluruh Kumpulan

KUALA LUMPUR, 26 November 2026 – Capital A Berhad (“Capital A” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan pelantikan Low Kar Chuan sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu, berkuat kuasa mulai 1 Disember 2026. Beliau akan melapor kepada Effendy Shahul Hamid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.

Beliau akan menerajui usaha memperkukuh nilai perniagaan serta merealisasikan potensi nilai, di samping mempertingkat tadbir urus dan kawalan merentasi perniagaan Capital A. Beliau juga akan menyelia keseluruhan operasi kewangan, peruntukan modal dan pengurusan kecairan merentasi ekosistem perniagaan Kumpulan yang berteraskan model aset ringan.

Kar Chuan sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (Group CFO) di AirAsia Group Berhad, dengan tanggungjawab menyelia operasi kewangan merentasi enam entiti Sijil Pengendali Udara (Air Operator Certificate atau AOC). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Asia Aviation PCL. Peralihan beliau ke Capital A sejajar dengan agenda strategik Kumpulan yang merangkumi penggabungan dan pengambilalihan (M&A), strategi peruntukan modal serta inisiatif kewangan korporat merentasi portfolio perniagaannya.

Effendy Shahul Hamid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, berkata, “Kar Chuan memiliki gabungan kepakaran dalam pasaran modal, pengalaman luas dalam pengurusan kewangan operasi serta pemahaman mendalam tentang ekosistem perniagaan Kumpulan. Gabungan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki beliau merupakan satu kelebihan yang amat bernilai. Saya yakin Kar Chuan dapat memainkan peranan penting dalam memacu agenda kewangan Kumpulan serta memperkukuh hala tuju perniagaan Capital A. Saya amat mengalu-alukan kerjasama bersama beliau.”


Low Kar Chuan, bakal Ketua Pegawai Kewangan Capital A, berkata, “Ini merupakan satu peluang yang amat menarik dan kesinambungan daripada tanggungjawab saya sebelum ini. Saya komited untuk bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah dan barisan kepimpinan Capital A bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif strategik yang dapat memperkukuh dan meningkatkan nilai Kumpulan.”

Beliau memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang perbankan korporat dan pelaburan, termasuk pernah memegang jawatan sebagai Pengarah merangkap Ketua Pasukan Liputan Pelanggan, Perbankan Borong Kumpulan di RHB Investment Bank Berhad. Beliau juga mempunyai rekod pengalaman luas dalam menasihati Capital A dan AirAsia berhubung urusan korporat serta penstrukturan semula strategik, termasuk pelupusan aset pajakan pesawat, usaha pengumpulan modal dan skim penstrukturan semula PN17.


*** TAMAT *** 

Mengenai Capital A Berhad

Capital A ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan bersinergi, didayakan teknologi dan aset ringan yang merangkumi perkhidmatan penerbangan, platform digital, logistik dan gaya hidup. Anak syarikat utamanya terdiri daripada Asia Digital Engineering (ADE), AirAsia MOVE, AirAsia Next, Santan dan Teleport, yang berdedikasi untuk menyampaikan perkhidmatan yang berpatutan, mudah diakses dan berkualiti tinggi di seluruh Asean dan pasaran luar.

Previous
Previous

壹必投集团委任刘家泉出任首席财务官

Next
Next

Capital A Financial Results Third Quarter 2026